Keputusan kerajaan untuk mengkaji mempercepatkan pelaksanaan dasar
baru memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris
(MBMMBI) bagi murid Tahun Satu mulai 2011, berbanding cadangan asal pada
2012 mampu membela nasib pelajar sekolah rendah yang sebelum ini
keciciran berikutan subjek Sains dan Matematik diajar dalam bahasa
Inggeris.
Penyandang Kursi Tun Abdul Ghafar Baba, Universiti Pendidikan Sultan
Idris (Upsi), Profesor Datuk Dr Zainal Kling, berkata pelaksanaan dasar
baru yang menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik
dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) itu tidak boleh dilengahkan lebih lama
kerana sejak PPSMI diperkenalkan enam tahun lalu, ia memberi kesan
negatif kepada pelajar sekolah rendah terutama di luar bandar.
Akhbar melaporkan keputusan kerajaan mengkaji mempercepatkan pelaksanaan MBMMBI bagi murid Tahun Satu mulai 2011, berbanding cadangan asal pada 2012.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran bagaimanapun berkata, pelaksanaan lebih awal itu bergantung kepada beberapa faktor termasuk bilangan guru yang mencukupi, kesediaan kurikulum baru serta buku teks untuk Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris yang perlu disiapkan akhir tahun depan.
Zainal berkata, pelaksanaan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu tidak memberi banyak masalah kerana ia pernah dilaksanakan sebelum PPSMI diperkenalkan.
Sementara itu, Ketua Dua Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar, berkata keputusan kerajaan itu selaras dengan kehendak pertubuhan itu yang mahu pelaksanaan dasar itu dipercepatkan.
Mereka juga ingin menggesa kerajaan supaya dasar itu dilanjutkan pula di peringkat institusi pengajian tinggi selain tidak mengabaikan usaha untuk memperkasakan bahasa Inggeris. Selain itu, ucapan pemimpin negara dan papan tanda juga perlu menggunakan bahasa Melayu.
Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPPSMI (GMP), Datuk Dr Hassan Ahmad turut menyokong dasar baru itu berharap bahasa Melayu akan dijadikan teras utama dalam pembinaan gagasan 1Malaysia.
Sumber : Berita Harian
No comments:
Post a Comment